Saturday, July 18, 2009

Chin Tong: Teoh, semoga pemergian mu tidak sia-sia

Sebagaimana orang lain dalam keluarga DAP dan masyarakat Malaysia amnya, saya masih berkabung dalam kepiluan dengan kematian Teoh Beng Hock, pembantu kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor Ean Yong Hian Wah.

Apa yang berlaku pada 16 Julai 2009 di Bangunan Ibu Pejabat Suruhanjaya Anti-Rasuah Malaysia di Shah Alam adalah hari paling tragik dalam sejarah DAP. Malah, ia sebenarnya adalah hari yang paling menyedihkan buat kita semua.

Bagi kami yang aktif dalam DAP dan parti-parti pembangkang yang lain serta NGO yang berjuang untuk rakyat, tidak pernah terlintas di hati untuk memperoleh apa-apa habuan peribadi. Malah ramai antara kami yang bersedia untuk menghadapi penindasan kerajaan UMNO/Barisan Nasional. Kata orang, berani kerana benar walau liku-likunya penuh duri tajam.

Sudah ramai pemimpin kami yang diseret ke penjara dan dihumban ke dalam tahanan tanpa bicara. Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bukan sahaja menjadi mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri, malah beliau juga menjadi banduan politik yang dipenjarakan selama setahun semata-mata kerana berjuang membela harga diri seorang gadis Melayu.

Tetapi inilah kali pertama kalangan kami telah terbunuh. Anak muda dari kalangan kami telah menjadi mangsa syitem yang sudah tua melarat, korup dan busuk, dimakan sisa-sisa politik kotor yang turut menenggelamkan bersamanya harapan muda yang mahukan perubahan dan reformasi.

Teoh adalah mangsa pertama mewakili golongan muda yang mahukan perubahan. Gambar-gambarnya yang diambil sewaktu pegawai dan kakitangan SPRM membawanya keluar pejabat jelas terpampang di dada akhbar-akhbar nasional. Sudah tentu mengejutkan kita semua apabila dengan tiba-tiba kita mendengar berita yang dia sudah pun menemui ajalnya dalam keadaan yang menimbulkan bermacam persoalan.

Kematian Teoh telah mendedahkan pekung dalam aparatus kerajaan yang dikuasai UMNO/Barisan Nasional. Kerana terlalu ghairah mahu memenuhi kerakusan nafsu kepimpinan UMNO/Barisan Nasional, melalui cubaan mengaitkan tuduhan rasuah terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat khususnya DAP, maka SPRM telah sanggup bertindak keji sehingga berakhir dengan kematian seorang anak muda yang percayakan kepada demokrasi dan kebebasan.

Apakah nilai harga diri dan nyawa manusia sudah tidak ada lagi dalam kamus UMNO/Barisan Nasional? Apakah tuduhan-tuduhan palsu terhadap wakil-wakil rakyat Pakatan dibuat dengan kerahan tenaga aparatus kerajaan hanya berniat membuka jalan untuk rampasan kuasa di Selangor, sama seperti taktik jijik yang digunakan di Perak?

Kini masanya telah tiba. Sama ada ia akan mengambil masa setahun atau dua, atau sepanjang masa, sudah menjadi tugas dan tanggungjawab setiap warga Malaysia yang mengaku diri bersih dan mahukan perubahan untuk membebaskan bumi tercinta kita daripada cengkaman UMNO/Barisan Nasional. Ini bukan soal dendam. Ini adalah soal hak dan keadilan. Mereka yang selalu melaungkan kata-kata cinta agama, pasti dengan mudah dapat memahami erti keadilan dan mengapa ia perlu ditegakkan. Malah berdiam diri melihat kezaliman adalah antara dosa kemanusiaan yang besar.

Ingatlah sabahat ku warga Malaysia; kematian Teoh sepatutnya menyedarkan kita dari lena yang lama bahawa UMNO/Barisan Nasional tidak akan dan tidak mahu berubah. Walau pun UMNO/Barisan Nasional hilang banyak kerusi pada 8 Mac 2008, pemimpin mereka tetap gilakan kuasa dan tidak akan membenarkan perubahan mengubah gaya hidup mereka yang selesa dan agkuh itu.

Bagi kita rakyat Malaysia, terutamanya mereka dalam Pakatan Rakyat, masanya telah tiba untuk mengetepikan persoalan-persoalan remeh bagi menumpukan tenaga dengan mengulangi pendirian asal kita untuk membawakan politik baru untuk keadilan dan kesejahteraan rakyat.

Semoga kematian Teoh tidak akan sia-sia.


Liew Chin Tong
Ahli Parlimen Bukit Bendera

2 comments:

auntiemarah said...

masa sedih untuk pakatan rakyat hanya sampai isnin depan.setiap rakyat pun sedih dan terkejut atas kejadian sebegini.jadikanlah kesedihan u sesuatu semangat untuk berjuang keadilan untuk beng hock selepas pengebumian beliau isnin depan dan bukan sekadar sedih pilu untuk selamanya.buat sesuatu kepada beliau yang jadi mangsa.harap wujudkan satu forum dari pakatan rakyat ataupun kerajaan yang pegang kuasa sekarang supaya rakyat dapat luangkan perasaan masing2 dalam forum tersebut

Unknown said...

I like your blog. Thank you. They are really great .
Some new style Puma Cat shoes is in fashion this year.
The Nike Air Shoes is a best Air Shoes .
Nike Air Rift is good and Cheap Nike Shoes.
If you are a fans of Puma basket,we would offer the good and Cheap Puma Shoes for you .the nike shox torchis best christmas gift now.
The information age is really convenient .