Keputusan sama ada akan membenarkan nama mendiang Teoh Beng Hock diletakkan sebagai bapa dalam surat beranak anaknya yang sedang dalam kandungan tunangnya, akan dibuat oleh Kabinet.
Pada masa ini, kerajaan masih mengkaji implikasi dari sudut perundangan sekiranya membenarkan nama Teoh diletakkan sebagai bapa dalam surat beranak anaknya, kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Mahmood Adam.
Beliau memberitahu Bernama pejabat peguam negara telah diarah untuk mengkaji perkara itu dan keputusannya akan diketahui tidak lama lagi.
Teoh, 30, setiausaha politik kepada exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, sehari sebelum beliau mendaftarkan perkahwinannya dengan Soh Cher Wai.
Sebelum ditemui mati, Teoh memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang berpejabat di plaza itu.
Soh, 28, seorang guru di Semenyih, Selangor, kini hamil dua bulan, dan telah membuat permohonan untuk meletakkan nama Teoh dalam surat beranak anaknya.
"Kita terpaksa berhati-hati dan mengkaji kes ini secara mendalam kerana ia memberi implikasi yang besar kelak," kata Mahmood.
Apa jua hasilnya, keputusan akhir akan dibuat oleh kabinet, katanya.
Bernama dimaklumkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima banyak permohonan seumpama itu setiap tahun daripada wanita yang tidak berkahwin dan permohonan mereka ditolak kerana jabatan itu memerlukan sijil nikah sebagai bukti sebelum seseorang anak itu didaftarkan.
Sumber JPN berkata sekiranya nama bapa bayi diletakkan dalam surat beranak tanpa mengesahkan ibubapa bayi itu yang sebenar, ia akan menimbulkan komplikasi di kemudian hari terhadap kanak-kanak itu dan keluarganya terutama dalam pertikaian pembahagian harta.
Friday, August 7, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment